Thursday, July 16, 2009

FERRARI, PIERRE CARDIN DI DARUL TAQWA


episod 2 :


Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur seorang diri datang skepada pegawai penguatkuasa. “Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!” rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas...Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.

“Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki.” “Ceh! Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan.” Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. “Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni”

Lelaki itu tersenyum. “Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.

“Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni...” “Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi orang yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu...Subhanallah....” keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia menggeleng-gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun masuk. “Nasi beriani sepinggan!” ujarnya kepada pelayan. “Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan. “Ya, Apa peliknya?”. “Baik,tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?” tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke tempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas. “Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki,” kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

“Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh,” ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja. “Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?” tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. “Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ...malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana,” keluhnya. “Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita. Oh...!” keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi. “Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan
duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labor habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.

Datuk Dr.Johar makin pelik. “Tambah nasi sepinggan lagi!” ujarnya kepada pelayan restoran. “Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ... berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ...," kata pelayan itu lagi. “Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di
restoran!” bentaknya. Marah campur geram.

Tuesday, July 7, 2009

Bulan Rejab

Pada 24 Jun 2009 (Rabu) kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:

1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt

2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab /Isra Mi'raj (Isnin, 20 Julai 2009) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa

3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt

4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (24, 25, 26 Jun 2009) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat

5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah

6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga

7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya."


Sabda Rasulullah saw lagi :"Pada malam Mi'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?"

Maka berkata Jibrilb as "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab ini."

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita : "Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka."

Sabda beliau lagi "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"

Sabda beliau "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

Tuesday, May 26, 2009

Kisah Tauladan yang best.....

FERRARI, PIERRE CARDIN DI DARUL TAQWA


Episod 1:

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik..tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi diAkhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini. "Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu mata,tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikiran Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak.Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

“Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman....Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali.”
Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi.

“Apa? Dia nak marahkan aku?” Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya angkuh. “Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.



“Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?” tanya pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambing status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

“Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni.” “Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang -moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. “Di mana aku sebenarnya ni?” Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini.

“Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni?” Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar. “Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat...”


Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas...



bersambung.......

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru - Guru Pembina Negara Bangsa

Guru merupakan salah satu professsion yang amat mulia di mata masyarakat kita. Tanpa guru, tiada Perdana Menteri, tiada Doktor, tiada Professor dan tiada juga wujudnya ketamadunan. Kini, rasa hormat kian hilang terhadap kerjaya ini. Kepercayaan kian terhakis. Maruah dan kehormatan seorang guru dipijak-pijak dengan selambanya oleh para pelajar dan tidak kurang pula ibu bapa mereka bongkak dan dengan bodoh sombongnya menutup salah anak sendiri. Mari kita sama-sama baca akhbar-akhbar, tengok berita, surf internet dan sebagainya. Kita lihat beratus-ratus kes yang menunjukkan guru dibinatangkan oleh segolongan pelajar yang berperangaikan binatang. Kes-kes seperti kereta guru dicalar oleh pelajar, tayar kereta dibakar, kereta disembur cat, guru dimaki hamun, guru di belasah samseng dan banyak lagi bagaikan tidak asing lagi bagi kita. Tidak kurang juga kes para ibu bapa yang menyaman guru kerana dikatakan men”dera” anak mereka yang “baik”. Maka mungkinlah benar statistik yang dibacakan di RTM1 pada Mac09 baru-baru ini yang mengatakan guru paling ramai sakit jiwa. Kenapa???? Kenapa perkara-perkara sebegini perlu berlaku??? Dimana letaknya penghormatan kepada guru??? Di mana letaknya kepercayaan kepada guru???



Aku seorang bakal guru, dapat rasakan begitu peritnya dan payahnya memikul tanggungjawab sebagai pendidik. Pengalaman semasa praktikum bahkan sewaktu mengajar adik aku sendiri sangat mengajar aku erti sebenar bebanan yang terpikul oleh seorang insan bernama guru. Aku berasa resah dan tak senang tatkala anak-anak muridku kurang jelas akan pengajaranku. Tidak senang hati keluar dari kelas sekiranya masih ada pelajarku yang tidak faham apa yang aku ajarkan. Tapi alangkah sedihnya aku tatkala mengenangkan kembali berita-berita yang disiarkan yang membabitkan isu isu “pelajar vs guru”. Sungguh sayang sekali, madu yang di beri dibalas dengan racun yang berbisa. Mungkin inilan hadiah kepada guru-guru sebagai mengenang jasa dan pengorbanannya di arena pendidikan.



Setiap tahun, 16 Mei disambut dengan cukup meriah sebagai Hari Guru. Pada tarikh ini, para guru, ramailah pelajar memberikan hadiah kepada guru-guru yang diminati mereka. Guru-guru pula tersenyum lebar hingga ke pipi kerana banyak dapat hadiah daripada pelajar-pelajarnya. Sebagai seorang yang berjiwa pendidik, tiada apa yang ku pinta pada 16 Mei ini. Aku tidak inginkan hadiah-hadiah daripada pelajar-pelajarku. Tidakku ingin kad-kad ucapan yang berbunga-bunga ayatnya... Yang kuharapkan cuma para pelajarku menjadi insan yang soleh dan berakhlak mulia. Semoga para pelajarku menjadi seorang hamba Allah yang taat dan patuh pada perintahNya. Sentiasa berpegang pada Quran dan Sunnah. Mempunyai iman yang teguh dan jitu laksana iman para sahabat-sahabat nabi. Dengan itu, aku yakin dan percaya bahawa martabat agama Islam akan kembali tinggi sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu. Perananku pula, akan berusaha sedaya upayaku untuk mendidik dan membimbing pelajar-pelajar yang berjiwa hamba. InsyaAllah.....

Friday, May 15, 2009

WALAU APAPUN ERTI CINTA......

Apa itu cinta???
aku sendiri xtahu apa sebenarnya CINTA.
setiap org ada perasaan CINTA...
CINTA tidak mengenal usia....
tak kira tua atau muda,
zaman REMAJA boleh dikatakan zaman CINTA.
Para remaja tlalu gilakan CINTA.... Sgt GHAIRAH dlm berCINTA.
begitu juga dgn aku yg sememangnya begitu mendambakan CINTA....
CINTA itu anugerah dari Allah....
CINTA itu......Fitrah.
bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang.
itu adalah fitrah. cuma tundukkan naluri itu utk patuh pada perintah Allah.
jadilah manusia yg sihat pada nalurinya.
dan jadikanlah CINTA itu CINTA LUAR BIASA!!!
sahabat-sahabatku sekalian.....
mari kita renungkan sajak ini.....


CINTA LUAR BIASA

Cinta luar biasa...
Cinta seorang kekasih kpd umatnya
Hingga pd hembusan nafasnya yg terakhir
Lidah Rasulullah menuturkan tanpa henti
Ummati.. ummati.. ummati...

Cinta luar biasa...
Kisah cinta Handzalah
Meninggalkan isteri di malam pernikahan
Lantaran menyahut seruan jihad
Akhirnya syahid di medan perjuangan

Cinta luar biasa...
Seteguh kasih Khadijah
Tak pernah jemu memberikan sokongan
Rela mengorbankan segala kemewahan
Di saat Rasulullah dan Islam dipinggirkan

Cinta luar biasa...
Kisah kesetiaan Abu Bakar
Kasih seorang sahabat yg tiada tandingan
Insan yg sentiasa membenarkan
Sewaktu kata-kata Rasulullah dipersendakan

Cinta luar biasa...
Kisah ketabahan Hajar
Ditinggalkan di tanah yg gersang bersama Ismail
Bukti kasih seorang ibu yg berlarian mencari air
Tatkala mendengar tangisan si anak kecil

Cinta luar biasa...
Umpama keberanian Ali
Di malam penghijrahan Nabi
Menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya
Walaupun jiwa menjadi taruhan

Cinta luar biasa...
Cinta Asiah, Masyitah dan Sumayyah
Menggadaikan nyawa demi mempertahankan aqidah
Iman di dada tak sedikit pun goyah
Kerana keyakinan yg teguh atas segala janjiNya

Kisah cinta luar biasa...
Insan pilihan yg berada di atas jalanNya
Betapa tulusnya kasih, teguhnya jiwa
Redha dan sabar menempuh segala ujian
Merekalah insan yg memahami erti kemanisan iman
Mampukah diri ini meraih cinta luar biasa..??





Ya Tuhan kami...Beri keampunan kpd kami dan saudara2 kami yg tlh beriman lbh dahulu dr kami, dan jgnlah Engkau membiarkan perasaan hasad dlm hati kami terhadap org2 yg beriman... Ya Tuhan kami...Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.. (al-Hasyr: 10)

Thursday, May 14, 2009

Bicara Si Insan Hina bermula..........

Assalamualaikum wbt.....
tanggal 15 Mei 2009 bermulalah penubuhan blog nie...
tiada ape yg ingin aku postkan buat ms ini....
aku sdri pun lom mahir dan masih lagi bertatih utk create blog nie...
ku hanya ingin berkongsi luahan hati dan perasaan, maklumat dan pesanan2 yg boleh dijadikan iktibar dan teladan buat semua pembaca.....
salam ukhuwah dariku....

yg benar,
insanhina